BE YOURSELF
setiap insan dilahirkan sempurna..cinta yang lahir didalam diri adalah cinta yg terbaik..kenali diri anda..dan pasti orang akan sayang akan kamu
SELAMAT DATANG
hu2 jgn segan2 wat cam umah sendiri
Monday, May 31, 2010
nasib wakil malaysia masih samar

SHAH ALAM: Nasib sembilan sukarelawan Misi Lifeline 4 Gaza (LL4G) dari Malaysia dan dua krew televisyen Astro Awani yang berada atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel ketika misi kemanusiaan menghantar bantuan untuk penduduk Palestin di Semenanjung Gaza pagi semalam, belum diketahui.
Setakat tengah malam tadi, sekurang-kurangnya 19 orang dilaporkan mati dan berpuluh lain cedera dalam serbuan komando Israel ketika kapal itu berada di perairan antarabangsa, di luar pantai Gaza.
Mereka yang menyertai misi bantuan kemanusiaan itu ialah Noorazman Mohd Shamsuddin, Dr Mohd Arba Ai Shawal, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan, Dr Selamat Aliman, Jamaluddin Elias, Al Hami Hussian Suhaimi, Mohd Nizam Mohamad, Abd Halim Mohamed Redzuan, Hasanuddin Aqsi As Syarif. Dua krew Astro Awani ialah wartawan Ashwad Ismail dan jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip.
Pengerusi LL4G, Zulkifli Mohd Nani, pada sidang media di sini, berkata ketika menghubungi bahagian komunikasi di Gaza pada jam 3.15 petang semalam, beliau dimaklumkan lebih 10 mangsa terbunuh dan 30 cedera dalam kejadian itu.
"Saya hanya sempat membuat panggilan telefon tidak sampai dua minit dan diberitahu sebarang komunikasi atas kapal Mavi Marmara sudah diputuskan oleh Israel," katanya dan menambah misi bantuan kemanusiaan itu membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan, antaranya ubat-ubatan bagi pesakit kanser di Gaza, selain pakaian dan makanan.
"Kapal Induk Marvi Marmara adalah satu daripada tujuh kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan. Ia diserang ketika menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi diketuai sebuah NGO dari Turki, iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) dan kapal Marvi Marmara yang dinaiki sukarelawan Malaysia diserang jam 11 pagi," katanya.
Beliau berkata, ketua misi LL4G, Noorazman ketika dihubungi sebelum ini berkata tidak ada sebatang paku pun dalam kapal itu untuk sebarang tujuan tidak baik dan misi hanya untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Gaza tetapi Israel dalam kenyataannya menyatakan tembakan bermula daripada kapal Mavi Marmara sebelum dibalas oleh tenteranya," katanya.
Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Aziz, mengesahkan Ashwad, 26, dan Shamsul Kamal, 43 wartawan berada dalam kapal Mavi Marmara tetapi sehingga malam tadi, tidak dapat menghubungi mereka.
“Kami masih gagal menghubungi mereka selepas serangan pada awal pagi tadi (semalam). Kami masih menunggu sebarang maklumat daripada penganjur dan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dua krew berkenaan berlepas dari Kuala Lumpur ke Istanbul, Turki pada 23 Mei sebelum ke Pelabuhan Antalya, untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan itu.
Sementara itu, sekumpulan lagi rakyat Malaysia dari Perdana Global Peace Organisation (PGPO) yang menaiki kapal utama Rachel Corrie, selamat selepas tentera Israel hanya menaiki Marvi Marvara bagi menghalang konvoi itu.
Tiga wakil PGPO atas kapal itu ialah Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu serta Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria. Mereka disertai wartawan TV3, Halim Mohamed dan jurukamera Mohd Jufri Judin.
Dalam SMS kepada PGPO, Shamsul berkata mereka berada kira-kira 1,000 batu nautika dari Gaza tahu Mavi Marmara diserang dan merancang untuk terus maju.
Komando Yahudi gempur enam kapal bantuan bawa bekalan kemanusiaan

Komando Yahudi gempur enam kapal bantuan bawa bekalan kemanusiaan
ASHDOD: Komando Israel menyerbu beberapa kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza awal semalam menyebabkan 19 orang maut dan 36 lagi cedera, kebanyakannya aktivis Turki sekali gus mencetuskan krisis diplomatik antarabangsa.
Anehnya, Israel menyalahkan aktivis kerana mencetuskan keganasan hingga membawa kematian menyebabkan aktivis memberi keterangan bagaimana ia berlaku di perairan antarabangsa.
Rakaman secara langsung sebuah bot Turki yang boleh dilihat di internet, menunjukkan komando berpakaian hitam Israel turun dari helikopter dan menyerang aktivis.
“Ketika keadaan masih gelap, komando Israel turun dari helikopter ke kapal Mavi Marmara dan terus melepaskan tembakan sebaik menjejakkan kaki di dek,” menurut laporan laman web Pergerakan Bebaskan Gaza.
Rakaman itu menunjukkan keadaan kacau bilau dengan beberapa bot peronda Israel berada tidak jauh dari situ.
Tentera Israel, bagaimanapun, mendakwa askarnya hanya menembak selepas diserang dengan pisau, cotar dan tembakan peluru hidup.
“Kesan daripada keadaan itu anggota tentera laut menggunakan kekerasan termasuk melepaskan tembakan,” menurut jawapan tentera Yahudi itu.
Apapun, Israel tetap mempersalah aktivis damai terbabit.
“Mereka yang memulakan keganasan. Kami berusaha sedaya upaya mengelakkannya. Tetapi askar kami diserang dengan pisau, besi serta ditembak,” kata jurucakap Netanyahu, Mark Regev.
Antara yang cedera termasuk komando laut Israel, dua daripada mereka parah dan tiga lagi semakin pulih.
Ketika butir-butir pertumpahan darah itu mula diketahui umum, sebuah bot tentera Israel dilihat mengiringi kapal besar berwarna putih dan sebuah lagi kapal lebih kecil masuk ke pelabuhan Ashdod.
Lelaki berpakaian hitam dilihat di dek bot lebih besar dipercayai kapal penumpang. Laporan media menyatakan, seorang pemimpin Arab, Raed Salah juga cedera dalam kejadian itu.
Presiden Palestin, Mahmud Abbas menyifatkan korban serangan di perairan antarabangsa itu sebagai mangsa pembunuhan beramai-ramai Yahudi dan mengumumkan tempoh berkabung tiga hari.
“Kita perlu ambil keputusan yang sukar hari ini,” kata seorang pegawainya di televisyen tanpa menjelaskan lebih lanjut.
Pihak Berkuasa Palestin (PA) juga menggesa diadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan tindakan umpama lanun, jenayah dan pembunuhan oleh Israel, kata ketua perunding, Saeb Erakat.
Selain itu, masyarakat Arab Israel juga menyarankan mogok diadakan sebagai membantah operasi laut Yahudi itu selain melancarkan protes.
Berikutan itu, beratus-ratus orang daripada pelbagai peringkat politik keluar beramai-ramai ke jalan raya di bandar Nazareth bagi membantah serangan berkenaan.
Pergerakan Hamas pula meminta PA berhenti berunding dengan Israel kerana melakukan jenayah terkutuk itu, kata pemimpinnya, Ismail Haniyeh. – AFP
wakil misi keamanan ditahan di penjara israel

Polis Israel memaklumkan 16 aktivis pro-Palestin dari kapal-kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza yang diserang pada awal pagi semalam telah dihantar ke penjara.
Laman web Haluan Palestin melaporkan, puluhan aktivis lain akan dihantar pulang ke negara asal.
Juru bicara polis Israel, Micky Rosenfeld berkata para aktivis dibawa ke darat dan dipenjara di gurun selatan bandar Bersyeba selepas enggan memberikan butir pengenalan diri.
Rejim Israel akan mengusir kira-kira 700 aktivis dalam armada tersebut tetapi mereka yang menolak untuk bekerjasama akan dipenjara.
Sekitar 80 aktivis telah dibawa ke pantai sehingga malam tadi.
senarai nama rakyat malaysia di kapal

Nasib rakyat kita di atas kapal Mavi Marmara belum diketahui
Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 1 Jun: Nasib 12 rakyat negara ini yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera rejim haram zionis Israel awal pagi semalam masih belum diketahui.
Laman web LL4G melaporkan, berikut adalah nama-nama rakyat Malaysia yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G) yang berada di atas kapal penumpang “Mavi Marmara” milik IHH, Turki ketika diserang oleh komando laut Israel di perairan antarabangsa itu.
Tn Hj Noorazman bin Mohd Samsuddin, HALUANPalestin
Dr Mohd Arbai’e bin Syawal, HALUANPalestin
Dr Syed Muhammad Haleem bin Syed Hasan al-Haddad, HALUANPalestin
Ust Al-Hami Husain bin Suhaimi, HALUANPalestin
Mohd Nizam bin Mohd Awang, HALUANPalestin
Ust Hasanuddin bin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
Tn Hj Jamuliddin bin Elias, Yayasan Amal
Dr Selamat bin Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
Abdul Halim bin Mohd Redzuan, Muslim Care
Mustafa bin Mansur, MAPIM
Ashwat bin Ismail, Wartawan ASTRO
Shamsul Kamal Latif, Juru kamera ASTRO
Mustafa Mansur yang mewakili MAPIM menaiki kapal Mavi Marmara pada 29hb Mei setelah kapal Challenger II yang dinaiki beliau mengalami kerosakan di tengah perjalanan.
Sementara itu, Adun PAS dari Meru, Dr Rani Othman yang selamat bersama 12 anggota keselamatan ke Gaza berada di Turki.
Mereka dijangka sampai ke tanah air kira-kira pukul empat petang esok setelah terpaksa transit di Dubai beberapa jam.
Setiausaha Yayasan Amal Malaysia, Hamid Othman yang baru menghubungi Harakahdaily kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, memberitahu Dr Rani yang dikatakan terpaksa berlabuh di Haifa, sebenarnya tidak berlaku.
Menurut Hamid, Hifa adalah kawasan Israel dan konvoi mereka tidak pernah sampai di sana.
Beliau bagaimanapun berkata, Timbalan Presiden Yayasan Amal, Jamulidin Elias memang belum diketahui nasibnya.
“Turut bersama saya sekarang dan selamat ialah Presiden kita, Husin Ismail, Dr Rani dan beberapa orang anggota lagi ada bersama saya.
“Saya ingin membetulkan kenyataan dalam Harakahdaily yang mendakwa kami selamat di Haifa, sebenarnya tidak Haifa dalam kawasan Israel,”aujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua rakyat Malaysia mendoakan seluruh rakyat Palestin di Gaza yang kini sedang meningkat kematiannya akibat diserang tentera Israel.
Tambahnya, doakan juga semua konvoi misi keselamatan di sana selamat
nasib wakil malaysia

UALA LUMPUR: Seorang wartawan dan seorang jurukamera stesen televisyen Astro Awani dalam kapal Turki "Mavi Marmara" yang diserang tentera Israel pagi ini dalam misi bantuan ke Gaza, belum diketahui.
Seorang pegawai stesen televisyen itu berkata mereka cuba menghubungi wartawan Ashwad Ismail, 25, dan jurukamera Shamsul Kamal Latip, 38, sejak 11 pagi tadi tetapi tidak berjaya.
"Kami sedang cuba mendapat maklumat mengenai keadaan mereka melalui pelbagai cara," katanya ketika dihubungi.
Kali terakhir kedua-duanya menghubungi stesen televisyen itu ialah pada 7.45 malam tadi ketika kapal itu sedang berada dekat Gaza manakala rakaman gambar kapal berkenaan diterima di sini awal pagi ini.
Enam lagi rakyat Malaysia yang berada dalam satu lagi kapal, "Rachel Corrie" yang juga dalam misi serupa, dilaporkan selamat.
Mereka terdiri tiga wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria serta wartawan Halim Mohamed dan jurukamera Mohd Jufri Judin, kedua-dua daripada TV3.
Menurut laporan Al-Jazeera, seramai 15 aktivis terbunuh dan ramai yang cedera apabila komando Israel menyerang kapal Turki itu yang mendahului beberapa kapal lain dalam misi menghantar 5,000 tan bahan binaan, bekalan sekolah dan peralatan perubatan ke Semenanjung Gaza.
Dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada PGPO, Shamsul berkata mereka berada 1,600 kilometer dari Gaza.
"Rancangan sekarang ialah untuk meneruskan perjalanan dan berpatah balik jika ada amaran daripada tentera Israel," katanya. - Bernama
Subscribe to:
Comments (Atom)